fbpx

Komplot ejen hartanah, Inspektor perdaya dua individu selesai ‘kes polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAMINEE diiringi Pegawai SPRM selepas dituduh menyamar sebagai peguam dan menipu suami isteri.- Foto BAZLAN IBRAHIM/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menipu dua individu menyelesaikan kes menggaji dan membekalkan pekerja asing tanpa permit melibatkan kerugian RM48,000, Mac tahun lalu.

Tertuduh, S. Shaminee, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Shaminee menghadapi dua pertuduhan itu bersama seorang lagi tertuduh yang juga pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor, bagaimanapun wanita berkenaan tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana dalam tempoh cuti sakit.

Bagi dua pertuduhan itu, wanita tersebut didakwa bersama-sama tertuduh pertama mencapai niat bersama menipu seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun dengan memperdayakan mereka untuk percaya bahawa dia adalah seorang peguam yang boleh membantu menyelesaikan siasatan yang sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat tersebut.

Siasatan yang dikatakan sedang dibuat terhadap mangsa bagi kesalahan menggaji pembantu rumah warga asing tanpa permit yang sah dan ke atas ibu mentua mangsa bagi kesalahan menjalankan perkhidmatan membekalkan pembantu rumah tanpa permit dan lesen yang sah itu sebenarnya tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa menghantar wang masing-masing berjumlah RM24,000 secara dalam talian yang mana dua mangsa itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Shaminee didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, pada 17 Mac 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April depan untuk sebutan semula kes.

Pertuduhan terhadap tertuduh pertama juga akan dibacakan pada 16 April depan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI