SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyokong sebarang cadangan kenaikan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa depan dan hari tua pekerja.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, namun sebarang cadangan tersebut perlu dikaji dan dilihat kesesuaian keadaan ekonomi dan dasar sedia ada serta sebagainya.
Tambahan, katanya, KWSP terletak dibawah kelolaan Kementerian Kewangan.
“Sebagai Menteri bertanggungjawab kepada pekerja sudah tentu saya sokong dasar-dasar dan cadangan yang mampu memberikan manfaat lebih besar kepada pekerja.
“Kalau ada apa-apa cadangan dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau ahli akademik, boleh dikemukakan kepada KWSP dan pihak berwajib,” katanya pada sidang akhbar selepas konvensyen Wanita Mywira 2025 hari ini.
Terdahulu, media melaporkan cadangan dua ahli akademik termasuk dari Pengarah Bersekutu Akademi Nourven, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob bahawa tiba masanya kadar caruman KWSP dilihat semula selepas ia diturunkan semasa dunia dilanda Covid-19 dahulu.
Contoh cadangan adalah caruman pekerja dinaikkan dari 13 hingga 15 peratus dan majikan pula.
Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Steven berkata, ia adalah memperkasakan lagi wanita dalam sektor pekerjaan dengan memulakannya di Selangor sebelum ke negeri-negeri lain.
Ujarnya, ini bagi mencapai 1.4 juta wanita bekerja di Selangor pada usia produktif kerja iaitu 22 hingga 44 tahun.
“Ia juga agar wanita (yang tidak lagi bekerja) mengetahui terhadap insentif lama iaitu potongan cukai selain mana-mana syarikat yang mengambil wanita kembali bekerja juga akan mendapat potongan cukai.
“Selain itu, kita akan promosikan insentif kerajaan yang lain contohnya aturan waktu kerja anjal yang beri menguntungkan bukan sahaja pekerja wanita malah pekerja lelaki,” katanya. – KOSMO! ONLINE