PETALING JAYA – Kerajaan komited untuk menangani isu kos sara hidup rakyat secara berkesan melalui pelbagai langkah strategik bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 1/2025, yang dipengerusikannya hari ini.
Katanya, kerajaan menyedari cabaran yang dihadapi oleh rakyat, khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang mampan dan bekalan keperluan asas pada harga yang berpatutan.
“Antara fokus utama mesyuarat ialah usaha mengawal kenaikan premium insurans dan takaful perubatan, memastikan bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadan dan Syawal serta memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, beberapa langkah telah dirangka termasuk pengagihan kadar pelarasan premium insurans kesihatan, penangguhan kenaikan premium serta pembangunan produk insurans kesihatan yang lebih mampu milik bagi memastikan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik untuk rakyat.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga akan memperkukuh program jualan murah seperti Jualan Rahmah Madani dan Jualan Pra Syawal di Pasar Tani bagi membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan terutama menjelang musim perayaan.
“Langkah-langkah yang telah dibincangkan dalam mesyuarat hari ini akan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, insya-Allah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE