PUTRAJAYA- Keputusan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan untuk tidak meneruskan debat berkaitan agama bersama penceramah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu disifatkan sebagai keputusan tepat dalam menjaga keharmonian negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Saravanan atas keputusan tidak meneruskan debat tersebut.
“Saya juga turut menghargai langkah dan usaha Zamri Vinoth yang menyambut baik perkara ini.
“Keputusan itu mengingatkan kita semua tentang pentingnya untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, perpaduan bukan hanya sekadar slogan, tetapi harus diterjemahkan dalam tindakan dan sikap seharian kita.
“Prinsip Faham, Hormat, dan Terima menjadi asas yang penting dalam usaha ini.
“Dengan mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan mengamalkan prinsip Faham, Hormat, dan Terima, kita bukan sahaja dapat membina masyarakat lebih harmoni dan sejahtera,” jelasnya.
Katanya, keputusan ini diharap dapat menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat untuk terus berusaha memperkukuhkan perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Keputusan ini adalah satu langkah positif yang mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara yang pelbagai selain wajar dijadikan pedoman bagi generasi akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE