LONDON – Operasi menyelamat besar-besaran dijalankan selepas sebuah kapal tangki minyak bertembung dengan kapal kargo dalam pelanggaran yang mencetuskan kebakaran besar di luar pantai England, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Dua kapal terlibat adalah kapal tangki minyak Stella Immaculate dan kapal kontena MV Solong.
Stella Immaculate yang membawa puluhan ribu tan bahan api jet untuk Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) sedang berlabuh di Muara Humber apabila dirempuh oleh kapal MV Solong menjelang pukul 10 pagi (waktu tempatan).
Perlanggaran tersebut mencetuskan kebakaran pada kedua-dua kapal dan menumpahkan beribu-ribu tan bahan api ke dalam laut.
Asap hitam pula berkepul-kepul naik ke udara.
Seorang anak kapal dilaporkan masih hilang, manakala 36 yang lain berjaya diselamatkan.
Seorang saksi berkata: “Apabila kami menghampiri tempat kejadian, ia sangat mengerikan kerana terdapat kepulan asap hitam dan bau bahan api terbakar yang sangat kuat.
“Kami diberitahu ada anak kapal yang hilang dan segera memulakan pencarian. Anak kapal yang lain mula meninggalkan kedua-dua kapal sekitar 30 minit kemudian.
“Ia adalah satu keajaiban kerana mereka semua tidak mati,” tambahnya.
Agensi Maritim dan Pengawal Pantai Britain berkata, beberapa bot penyelamat dan helikopter dikerah ke Laut Utara bersama kapal yang mempunyai keupayaan memadam kebakaran.
Kapal Stella Immaculate berlabuh di Hull selepas melakukan perjalanan dari Agioi Theodoroi di Greece.
Kargo Solong itu memiliki 15 kontena natrium sianida yang digunakan untuk pembersihan logam, penyaduran dan pengekstrakan, dan fotografi. – AGENSI