fbpx

JDT anggap aksi Buriram seperti final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIDOGLIO (kiri) dan Davies melaungkan keyakinan mampu menumbangkan Buriram menjelang pertemuan malam ini. - RAJA JAAFAR ALI

HARIMAU Selatan sedia mengganas bagi memburu kemenangan dalam perlawanan kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United malam ini.

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tanpa berselindung menganggap aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu seolah-olah perlawanan akhir kerana hanya kemenangan akan melayakkan kedua-dua pasukan ke peringkat seterusnya.

“Perlawanan esok (malam ini) penting untuk JDT, mungkin yang paling penting dalam tempoh setahun ini. Semua pihak akan beri komitmen 100 peratus untuk kelab, peminat dan Johor.

“Kami akui perlawanan nanti sukar di mana taktikal dan fizikal pemain diuji, jadi perlu bermain dengan akal fikiran dan hati serta kekal fokus sepanjang 90 minit permainan,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di SSI semalam.

Tambah Bidoglio, pihaknya akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan diperoleh tanpa perlu memasuki masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

Sementara itu, tonggak pertahanan JDT, Matthew Davies mendedahkan, bermain di hadapan 35,000 penyokong sendiri bakal memberi tonik tambahan kepada mereka untuk menewaskan Buriram.

“Perlawanan nanti satu detik bersejarah buat JDT. Kami sedia berikan kemenangan kepada kelab dan juga ribuan peminat yang setia menyokong dalam setiap perlawanan.

“Buriram satu pasukan yang bagus dan memiliki pemain berkualiti, tetapi JDT tidak kurang hebatnya  Kami yakin dengan kemampuan kami,” jelasnya yang mengharapkan sokongan padu seluruh rakyat Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI