JERANTUT – Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita apabila masih ada pihak yang berani mempermainkan agama Islam serta mencetuskan polemik berkaitan 3R (agama, kaum, dan raja) demi kepentingan sendiri.
Baginda menegaskan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menggugat keharmonian negara yang telah sekian lama dipelihara.
“Beta amat sedih apabila masih ada yang tanpa rasa bersalah mempergunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan dan kepentingan peribadi. Ini bukan perkara baharu, tetapi sehingga hari ini masih ada yang berani bermain api dengan mempolitikkan agama,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Abdul Rahman Auf bernilai RM1.8 juta di Kampung Durian Hijau, sempena majlis berbuka puasa di sini, hari ini.
Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf dari kampung Durian Hijau dan sekitarnya.
Berangkat sama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda turut mengingatkan agar rakyat tidak mudah terpedaya dengan golongan yang suka mencetuskan perpecahan dengan menggunakan isu 3R, sebaliknya terus berpegang kepada nilai-nilai perpaduan dan keharmonian.
“Jangan jadi badut politik yang menggunakan agama dan perkauman untuk mengelirukan rakyat. Negara ini telah lama hidup dalam aman damai kerana sikap toleransi dan hormat-menghormati. Jangan sesekali kita biarkan pihak tertentu merosakkan keharmonian ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE