SHAH ALAM – “Dia nak pergi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu hak dia,”
Demikian kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong berhubung kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Satees Muniandy yang mendakwa berlakunya pembelian undi menjelang pemilihan parti bagi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) hujung minggu ini.
Kata Steven, beliau yakin dengan setiap ahli dan para perwakilan bahawa CEC akan dilaksanakan dalam keadaan bersih, telus dan adil.
“Sampai kita telah melantik pihak ketiga yang berkecuali dan bebas iaitu firma audit antarabangsa sebagai pengendali (badan penyelia CEC) kita kali ini.
“Jadi, saya yakin dengan budaya DAP dengan perwakilan dan ahli-ahli tiada perkara sebegitu,” katanya pada sidang akhbar selepas konvensyen Wanita MyWira 2025 hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Satees menggesa SPRM menjalankan siasatan berhubung pembelian undi sempena CEC dengan beliau bersedia membuat aduan rasmi kepada SPRM.
Steven yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, itu mempersoalkan kredibiliti dakwaan tersebut memandangkan Satees bukan sahaja bekas ADUN malah bekas ahli DAP.
“Jadi, dia tiada dalam parti dan saya rasa mana dia boleh dapat semua ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE