ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri merancang untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai sebuah bandar metropolitan yang akan berfungsi sebagai pusat ekonomi moden dan inovasi negara ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu bakal merapatkan jurang ekonomi antara Johor dan pusat ekonomi utama lain di negara ini.
“Johor kini sedang giat memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Semua inisiatif dibuat bakal meningkatkan keterhubungan strategik, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Onn Hafiz memberitahu pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030, termasuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Katanya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Khazanah bertujuan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan demi kemajuan Johor serta kesejahteraan rakyatnya yang berbilang kaum. – KOSMO! ONLINE