MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim memuji impak yang dipamerkan oleh kapten, Bruno Fernandes selepas membantu pasukan mengikat Arsenal 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Old Trafford itu, Fernandes berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dan hampir meledak gol kemenangan pada masa kecederaan tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol The Gunners, David Raya.
Menurut Amorim, pasukannya akan tampil lebih baik sekiranya memiliki ramai pemain berkualiti seperti Fernandes yang sentiasa memberikan komitmen penuh di atas padang.
“Fernandes kekal menjadi sandaran utama pasukan pada setiap perlawanan. Malah, dia juga cukup beremosi jika pasukan tidak beraksi dengan baik kerana dia memiliki mentaliti juara dan sentiasa dahagakan kemenangan.
“Dia langsung tidak memberi masalah kepada saya kerana bersedia untuk diletakkan dimana-mana posisi. Jika kami ada lebih ramai pemain seperti Fernandes, mungkin kami boleh mencapai sesuatu yang lebih positif selepas ini,” katanya.
Dalam masa sama, Amorim turut berbangga dengan pertahanan muda, Ayden Heaven selepas pemain berusia 19 tahun itu melakukan debut cemerlang untuk membantu benteng pasukan daripada dirobek bekas kelabnya, Arsenal.
“Heaven mempamerkan aksi cukup matang dan saya dapat merasakan dia memiliki masa depan yang cerah dan bakal menjadi aset pasukan tidak lama lagi,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan United kini berada di kedudukan ke-14 liga apabila mengutip 34 mata selepas mengharungi 28 perlawanan. – AGENSI