LONDON – Kemenangan 1-0 ke atas Leicester City di Stamford Bridge kelmarin memberikan ruang buat pengurus Chelsea, Enzo Maresca menghentam para pengkritiknya yang sering mempertikaikan kualiti pasukan.
Sebaliknya, Maresca menjelaskan The Blues akan sentiasa berdepan cabaran dan semua perlu menerima realiti bahawa permainan bola sepak tidak semudah seperti apa yang sering dilihat dalam permainan PlayStation.
“Orang ramai faham inilah cara kami dan ini juga caranya kami akan bermain. Kami patut berasa gembira jika mampu mencipta peluang yang banyak seperti dalam perlawanan ini.
“Jika kami fikir bola seperti hanya seperti PlayStation dan mudah untuk menang, jawapannya adalah mustahil. Setiap perlawanan adalah sukar dan kali ini pemain melakukan tugas mereka dengan baik.
“Jadi apabila kami bermain di gelanggang sendiri, pastinya kami mahukan sokongan dan perlukan penyokong kekal berada di belakang pemain,” katanya.
Bagaimanapun, kemenangan Chelsea itu dibayangi kegagalan Cole Palmer menyempurnakan sepakan penalti, namun masih terselamat daripada kecewa selepas memperoleh gol kemenangan menerusi tonggak pertahanan, Marc Cucurella.
Tiga mata itu menghadiahkan kemenangan ketiga berturut-turut Chelsea yang kini memintas Manchester City untuk melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 49 mata. – AGENSI