fbpx

Cegah ‘runner’ kaut untung, tempahan slot berganda Puspakom ditamatkan Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke ketika melakukan tinjauan di Puspakom Wangsa Maju, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak lagi membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda (multiple slots) bagi nombor pendaftaran yang sama, berkuat kuasa Isnin depan.

Ia antara penambahbaikan yang dilakukan Kementerian Pengangkutan (MOT) susulan aduan orang ramai berkenaan waktu menunggu giliran yang panjang dan kesesakan di beberapa cawangan Puspakom.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh orang tengah ‘runner’ yang didapati menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain demi keuntungan.

“Sebagai contoh, jika kenderaan dengan nombor pendaftaran ABC123 membuat empat tempahan slot pemeriksaan pada tarikh sama, hanya satu slot akan dibenarkan.

“Puspakom juga akan menambah baik sistem tempahan dengan membekukan slot pemeriksaan asal jika ia ditunda ke tarikh lain bagi mengelakkan slot asal disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain,” katanya selepas melakukan tinjauan di Puspakom Wangsa Maju, hari ini.

Tambah beliau, semua cawangan Puspakom kecuali Langkawi dan Pekan pula akan beroperasi 12 jam sehari sepanjang Mac ini dengan penambahan empat jam sehari.

“Puspakom beroperasi pada hari Sabtu sepanjang Mac di semua cawangan kecuali Langkawi dan Pekan,” jelasnya.

Anthony Loke berkata, langkah-langkah berkenaan mampu menambah kapasiti sehingga 15,500 kenderaan sehari berbanding 13,500 sebelumnya.

Selain itu katanya, MOT juga akan memperkenalkan konsep deklarasi kendiri (self declaration) terhadap beberapa item pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan bagi kelonggaran pemeriksaan mandatori.

“Lima item yang dikenal pasti adalah tanda badan kenderaan (body lettering), tanda had laju (speed sign), kit bantuan kecemasan (first aid kit), nombor pendaftaran dan keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam,” ujarnya.

Beliau berkata, semua item pemeriksaan ini akan dikeluarkan daripada senarai mandatori bagi kelulusan pemeriksaan Puspakom berikutan ia antara punca kegagalan kelulusan paling tinggi dicatatkan yang menyebabkan pengguna perlu datang berulang kali.

Bagaimanapun katanya, pemilik kenderaan perlu membuat deklarasi kendiri bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan tersebut kerana pihak berkuasa tetap menjalankan pemeriksaan item-item ini di jalan raya.

“Sebagai contoh, sesebuah kenderaan boleh gagal pemeriksaan sekiranya teks alamat pada badan kendaraan tidak teratur walaupun ini tidak berkait samada kenderaan itu selamat untuk berada di atas jalan raya.

“Selepas perubahan dilaksanakan, Puspakom tidak lagi akan menggagalkan sesuatu kenderaan atas sebab sedemikian. Ini akan memendekkan masa pemeriksaan dan mengurangkan kes kegagalan atas sebab yang tidak kritikal dari aspek keselamatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI