SEREMBAN – Ibu dua beradik yang terlibat dalam kemalangan maut di Persiaran Senawang 1 di sini Khamis lalu terkilan apabila keluarga pelaku ada berjumpa dengannya, tetapi langsung tidak mengeluarkan perkataan ‘maaf’.
Haslinda Jupri, 44, berkata, keluarga pemandu kereta jenis Honda Jazz itu berjumpa dengannya di hospital dua hari lalu dan memberitahu anak mereka melanggar anak sulungnya, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, sehingga terkorban.
Adik Muhammad Aidil, Muhammad Asraf Adha, 14, pula cedera parah.
“Saya cakap terus-terang bapa dia (pemandu Honda Jazz) datang dua hari lepas, dia datang cuma beritahu anaknya yang langgar anak saya, macam itu sahaja (perkataan) minta maaf tiada.
“Seorang pun tidak datang minta maaf, kalau dia nak datang minta maaf, saya tidak akan maafkan sebab anak saya sudah tiada. Anak saya hidup kembali boleh saya maafkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar bersama badan bukan kerajaan (NGO) Bridged Negaraku melawat Muhammad Asraf Adha di Wad HTJ selepas remaja itu mula sedarkan diri, tetapi mengalami patah kaki.
Menurut Haslinda, dia hanya mahukan keadilan untuk anaknya dan masih belum membuat keputusan untuk tindakan lanjut walaupun pelbagai pihak tampil menawarkan khidmat bantuan guaman.
“Saya memang mahukan keadilan untuk anak saya, seorang sudah tiada (meninggal dunia), saya tidak akan diam orang dah buat macam itu. Saya nak orang yang buat anak saya rasa seperti mana apa saya rasa sekarang,” katanya.
Tambah Haslinda, anak bongsunya berulang kali menonton video kemalangan itu dan reda selepas mengetahui abangnya meninggal dunia dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE