fbpx

26 mangsa sindiket tipu kerja di Myanmar dibawa pulang esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

PETALING JAYA – Seramai 26 rakyat Malaysia disyaki terpedaya dengan sindiket pekerjaan di Myanmar dijangka pulang ke negara melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, esok.

Usaha tersebut hasil kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok dengan kerajaan Thailand yang menjalankan proses repatriasi membabitkan kesemua mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu terbabit terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun.

“Kesemua mangsa membabitkan 11 orang dari Johor, Selangor (6), Perak (2), Kedah (2), Kuala Lumpur (2) dan Melaka, Sarawak serta Negeri Sembilan masing-masing seorang.

“Selepas tiba di negara ini, mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan dengan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya hari ini.

Menurutnya, rakaman percakapan mangsa akan dilaksana oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Pada 24 Februari lalu, media melaporkan polis akan mengambil keterangan seramai 15 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selepas selamat tiba di tanah air melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Kementerian Luar dilaporkan berkata, mereka antara 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan itu dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati seramai 15 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Myanmar dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ bagi pelaburan kripto, bitcoin dan ‘love scam’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI