fbpx

11 nelayan tempatan, warga asing ditahan langgar undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara nelayan yang ditahan APMM di perairan Rungkup di Lumut minggu lalu. - Foto APMM

LUMUT – Sebanyak tiga vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di tiga lokasi berasingan di perairan Rungkup di sini atas pelbagai kesalahan pada hujung minggu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kes berkenaan bukan sahaja membongkarkan pelbagai pelanggaran undang-undang perikanan, malah turut membawa kepada penahanan tiga warga tempatan serta lapan warga asing.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil rondaan dijalankan oleh Kapal Maritim (KM) Jepak dan bot ronda APMM yang giat mengawal kawasan tersebut.

“Bagi kes tangkapan pertama, sebuah VNT kelas B didapati tidak diusahakan sendiri serta menggaji kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Berikutan itu, tekong bersama dua kru warga Indonesia berusia 35 hingga 45 tahun telah ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di atas vesel tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Shukri berkata, dalam kes berasingan, sebuah VNT kelas C bersama lima kru termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 17 hingga 43 tahun ditahan atas kesalahan sama.

Beliau berkata, lebih mencurigakan, mereka turut disyaki memasuki negara ini tanpa menggunakan laluan yang sah.

“Manakala bagi kes ketiga, sebuah lagi VNT pukat tunda kelas B1 turut berjaya ditahan selepas dikesan beroperasi kurang dari jarak yang dibenarkan dari daratan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga kru, termasuk tekong warga tempatan berusia 47 hingga 61 tahun telah melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di kawasan larangan dan tidak mengusahakan bot mereka sendiri,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, kesemua kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana pelanggaran syarat lesen, menangkap ikan di zon larangan, serta menggaji kru asing tanpa kebenaran.

“Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta disyaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah,” katanya.

Beliau berkata, kru warga asing telah ditahan untuk siasatan lanjut, manakala nelayan tempatan dilepaskan dengan jaminan bon sementara bot, hasil tangkapan, serta peralatan perikanan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM950,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI