SEPANG – Pelakon dan pelawak, Along Cham berharap proses tuntutan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi dapat diselesaikan hari ini.
Begitupun, Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, dia hanya akan mendedahkan taklik yang dilanggar isterinya itu di dalam kamar mahkamah.
“Hari ini pendedahan langgar taklik, saya harap semuanya dapat diselesaikan dengan lancar.
“Ada pendedahan, tunggu selesai nanti. Sebab dia langgar taklik, saya akan cakap dalam mahkamah nanti.
“Saya tidak boleh cerita nanti netizen cakap saya buka aib rumah tangga. Tak payah cerita, terima kasih,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Sepang, pukul 10.20 pagi tadi.
Along ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir, 64, serta seorang lagi individu difahamkan ahli saudara terdekatnya.
Menyusul selepas itu adalah isterinya, Afreena, 33, yang mengenakan persalinan serba hitam tiba pada pukul 10.35 pagi.
Afreena diiringi peguamnya, Mohamad Iezwan Ielias, ibu bapa serta rakan kepada keluarganya yang dikatakan turut menjadi saksi perkahwinan mereka tahun lalu.
“Saya harap prosiding hari ini berjalan dengan lancar, kalau boleh kita tak mahu tangguh lagi, perkara ini sudah tertangguh sekian lama.
“Kita tunggu sebentar lagi dari keputusan mahkamah,” katanya yang nampak tenang.
Pada masa sama, peguamnya menjelaskan hari ini berlangsungnya sebutan pertama kes lafaz taklik selepas pengesahan taklik difailkan Along.
“Secara asasnya kita akan sebut dulu di depan hakim, kebenaran untuk kes ini diteruskan.
“Tengok semula kepada arahan mahkamah bagaimana, sama ada kita akan masukkan pembelaan sebagai tuntutan balas atau kita akan teruskan dengan perbicaraan.
“Cuma kita kena tengok kepada proses mahkamah hari ini,” ujarnya.
Terdahulu pada 28 Januari, Along Cham mahu menfailkan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan pelakon tersebut melakukan permohonan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengikut alamat rumahnya.
Tindakan itu diambil selepas Along mendakwa isterinya melanggar tiga perkara yang dipersetujui tahun lalu termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 yang juga perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan pertama, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. – KOSMO! ONLINE