PETALING JAYA – Seorang peniaga apam balik di bazar Ramadan dekat Putrajaya menarik perhatian ramai apabila menawarkan juadah berbuka itu secara percuma kepada pelanggan yang berjaya menyambung ayat al-Quran dengan betul.
Menerusi perkongsian peniaga tersebut di akaun TikTok @kuhotputrajaya, dia memuat naik beberapa rakaman video memaparkan gelagat pelangganya ketika menyambung bacaan ayat al-Quran yang dibacanya sewaktu hadir ke gerai apam balik.
Dia menggunakan pendekatan unik ini sebagai satu cara untuk menggalakkan orang ramai menghafal dan memahami ayat-ayat suci al-Quran selain bersedekah di bulan Ramadan.
“Alhamdulillah, tahniah adik-adik yang berani. Ramadan ke-6 kami terima dua orang yang berani menyahut cabaran #sambungayatalquranpercumaapambalik. Mari temui kami di bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya,” katanya.
Tambah peniaga tersebut, selain pelanggan yang berjaya menyambung bacaan ayat al-Quran, apam balik secara percuma juga disediakan kepada golongan wanita yang sedang mengandung.
“Untuk ibu mengandung boleh datang ambil apam balik percuma ya,” katanya.
Usaha murni yang dilakukan peniaga itu turut mendapat pujian orang ramai dan mereka sempat menitipkan doa agar perniagaan apam balik tersebut terus berkembang.
“Ini membuktikan bahawa dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai cara, termasuk melalui perniagaan makanan, sekali gus menjadikan ilmu agama lebih dekat dengan masyarakat,” kata Said.
“Semoga dimurahkan rezeki. Alhamdulillah semoga lebih ramai anak muda menghafal al-Quran,” kata @mappa6655.
“Akhirat dapat, dunia dapat. Moga perniagaan abang ini maju jaya,” komen Naqiuddin Nazri. – KOSMO! ONLINE
@kuhotputrajaya Alhamdulillah tahniah Adik-adik yang berani!! Ramadan ke-6 kami terima 2 orang yang berani menyahut cabaran #sambungayatalquranpercumaapambalik. meh temui kami di bazar Ramadan presint 3. p/s. untuk ibu mengandung boleh datang ambil apam balik percuma ye✌️ #sambungayatalquranpercumaapambalik #bazarramadanputrajaya2025 #kuhotcyberjaya #perbadananputrajaya #kuhotputrajaya #tempahankateringraya ♬ original sound – KuhotPutrajaya