KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) memperkukuh laluan transisi kerjaya bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Veteran MyWIRA.
Kerjasama ini bertujuan membangunkan tenaga kerja berstruktur, melaksanakan Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (RPEL) serta memperluas penglibatan industri dalam menyediakan peluang kerjaya berkualiti tinggi kepada veteran yang beralih ke sektor swasta.
Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, MoU ini selari dengan mandat TalentCorp dalam menyokong peralihan veteran ATM ke sektor pekerjaan sivil dengan lebih lancar dan produktif.
“Peralihan daripada perkhidmatan tentera ke pekerjaan sivil adalah satu fasa kritikal. Dengan adanya sokongan daripada TalentCorp dan pihak industri, kami mengambil langkah proaktif memperkukuh kebolehpasaran veteran dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Bengkel Strategik Program Veteran MyWIRA di sini hari ini.
Sesi berkenaan menghimpunkan lebih 150 pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan akademia bagi membincangkan strategi meningkatkan kebolehpasaran veteran ATM.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan bahawa kementeriannya komited dalam memastikan veteran ATM mendapat tempat dalam industri berkemahiran tinggi.
“Veteran mempunyai disiplin, kepimpinan, dan kepakaran teknikal yang luar biasa. Namun, ramai antara mereka menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan pengalaman ketenteraan mereka ke dalam sektor pekerjaan sivil.
“Dengan kerjasama erat antara Kementerian Pertahanan dan Kesuma, kami menyeru lebih banyak majikan untuk mengenali nilai yang dibawa oleh veteran dan memanfaatkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi ini,” ujarnya.
Beberapa syarikat utama seperti Micron Memory Malaysia, Western Digital dan Jabil telah mengambil langkah proaktif dengan merekrut dan melatih veteran dalam sektor bernilai tinggi.
Sejak dilancarkan pada Januari 2024, Program Veteran MyWIRA telah membantu 49 veteran memperoleh pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,900 serta membuka 500 peluang pekerjaan dalam sektor elektronik dan elektrik, logistik dan perkhidmatan perniagaan global.
Dalam majlis itu, TalentCorp turut menyampaikan Sumbangan Ihya’ MyMAHIR bernilai RM30,000 kepada persatuan veteran sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam menyokong transisi kerjaya anggota ATM sebelum bersara. – KOSMO! ONLINE