PETALING JAYA – Sunway Resort Hotel kembali menyajikan pengalaman berbuka puasa yang luar biasa dengan menawarkan bufet Ramadan bertemakan 1,001 Arabian Nights di restoran terkenalnya iaitu Sunset Terrace.
Hidangan bufet ini dihiasi dengan pelbagai juadah antarabangsa dan hidangan tempatan yang disukai ramai dan pasti memenuhi selera setiap pengunjung.
Tema tahun ini menghidupkan semangat cerita rakyat Arab, memberikan pengunjung peluang untuk menikmati hidangan istimewa yang dipenuhi rasa eksotik dan tradisi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, antara menu utama yang bakal menjadi pilihan pengunjung adalah nasi Timur Tengah yang disajikan bersama daging dan sayur-sayuran, Ayam Fatteh yang terdiri daripada campuran ayam cincang, pita rangup, yogurt berkrim dan kacang berempah, serta nasi campuran lobak Parsi dan nasi campuran Turki.
“Untuk lebih merasai keajaiban dunia Arab, tetamu dijemput menikmati hidangan mewah seperti Kambing Utuh Panggang yang lazat dan Maqluba yang beraroma selain pelbagai menu bergrill serta digabungkan dengan sajian makanan laut segar serta pelbagai salad.
“Menu yang menarik perhatian adalah Putu Bambu yang terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan dan Qatayef, makanan istimewa dari Timur Tengah,” katanya.
Bersempena semangat Ramadan, pihak hotel juga membawa pengunjung merasai pengalaman istimewa yang diilhamkan oleh kegembiraan dan kisah-kisah abadi dari Arabian Nights yang mana, tetamu boleh menikmati hidangan yang dihidangkan dalam suasana yang mengingatkan kepada istana Arab, lengkap dengan aroma makanan yang menyelerakan.
Selain itu, mereka turut dihidangkan dengan aktiviti bertema, hiasan yang rumit, serta pilihan hadiah mewah, menjadikan pengalaman berbuka puasa lebih bermakna.
Sunway Resort Hotel juga menambahkan elemen penceritaan yang mempesonakan, di mana seorang pencerita akan membawa tetamu melalui kisah-kisah klasik seperti pengembaraan Aladdin dan pelayaran lagenda Sinbad. -KOSMO! ONLINE