KUALA LUMPUR – Seramai 774 orang Pembantu Perubatan (PPP) lantikan kontrak (fasa 6 dan 7) akan ditawarkan jawatan tetap dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tenaga kerja sektor kesihatan.
Beliau berkata, bagi memastikan lebih 25,000 Pembantu Perubatan di Malaysia terus berkembang dan memenuhi keperluan sistem kesihatan negara, KKM juga telah meningkatkan kapasiti latihan dan pengambilan tenaga baharu.
“Pada tahun 2024, seramai 807 pelatih baharu telah diambil ke Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM), sementara 462 pelatih telah direkrut bagi Sesi Pertama 2025.
“Selain itu, 283 pelajar turut mengikuti program Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan (atau ‘Diploma in Medical and Health Sciences’) di institusi swasta, sebagai sebahagian daripada usaha negara melahirkan lebih ramai PPP yang berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.
Sementara itu katanya, pada masa KKM menyokong pewujudan perjawatan fleksi bagi PPP dalam bidang kepakaran bagi memastikan tenaga kerja yang lebih dinamik dan fleksibel mengikut keperluan semasa.
“Bagi memastikan dasar dan kawal selia profesion PPP kekal relevan dan progresif, satu Rang Undang-Undang baharu sedang dibangunkan bagi menggantikan Akta Pembantu Perubatan
(Pendaftaran) 1977 [Akta 180], dengan pembentangan di Parlimen dijangka seawal-awalnya pada tahun 2026.
“Kesemua langkah ini bakal memperkukuhkan kedudukan dan peranan lebih 20,000 PPP dalam sektor kesihatan awam, dan lebih 25,000 pengamal dalam seluruh sektor kesihatan umumnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE