IPOH – Polis telah merakam percakapan pekerja sebuah kedai serbaneka di Jalan Besar Menglembu di sini bagi membantu siasatan kes simbah anjing menggunakan air panas seperti yang tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, proses rakaman percakapan lelaki warga asing itu dijalankan pada hari sama laporan polis dibuat Jumaat lalu.
“Siasatan kes ini sedang dilengkapkan sebelum ia dimajukan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, haiwan berkenaan telah diselamatkan dan dihantar ke Klinik Veterinar untuk rawatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan pekerja sebuah kedai serbaneka menyimbah air panas ke arah seekor anjing yang berada di pintu masuk premis.
Difahamkan, pelaku terbabit merupakan pekerja warga Bangladesh dan laporan kejadian itu telah di buat di Balai Polis Menglembu.- KOSMO! ONLINE