KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam direman selama lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan milik sebuah syarikat pada dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber berkata, siasatan awal mengesyaki suspek telah melakukan perbuatan demikian antara bulan Julai hingga September 2023.
“Suspek disyaki menerima suapan terbabit menerusi transaksi pindahan ke akaun bank miliknya.
“Ia dipercayai sebagai dorongan untuk memastikan kelulusan pendaftaran pusat jagaan milik sebuah syarikat,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, suspek ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE