PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila lagu Anta Permana nyanyiannya menjadi pilihan Raja Charles III untuk dimasukkan dalam senarai ‘playlist’ peribadinya.
Lagu tersebut menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music, yang menghimpunkan karya dari negara-negara Komanwel sebagai meraikan kepelbagaian muzik dunia.
Lebih membanggakan, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, tersenarai bersama nama-nama besar seperti Beyonce, Bob Marley, Kylie Minogue dan Grace Jones, sekali gus membuktikan keunikan muzik Nusantara turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Anta Permana merupakan lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini yang diluncurkan pada tahun 2018.
Senarai lagu yang dipilih menggambarkan selera muzik baginda yang luas, merangkumi pelbagai era dan genre seperti Afrobeats, reggae serta pop kontemporari.

“Sepanjang hidup, muzik memberi makna besar buat saya.
“Itu semua bukan sekadar hiburan, tetapi mampu mengembalikan kenangan, memberi ketenangan dan menyatukan kita dalam kegembiraan,” titah Raja Charles dalam siaran khas itu.
Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham dan memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi baginda.
Penghormatan tersebut jelas membanggakan peminat muzik tanah air yang tidak menyangka lagu Melayu turut mendapat tempat dalam seleksi peribadi Raja Britain.
“Lagu Melayu berkumandang dalam istana British! Siti memang kelas tersendiri,” komen seorang pengguna media sosial.
“Bukan calang-calang playlist, ada reggae, Afrobeats, pop klasik dan paling mengejutkan, Anta Permana,” tulis netizen lain.
“Siti terus membanggakan Malaysia, daripada Anugerah Industri Muzik hingga ke playlist Raja Britain!” kata seorang peminat.
Program tersebut bukan sekadar menghiburkan tetapi turut membuka sisi lebih peribadi Raja Charles kepada umum. – KOSMO! ONLINE