BAGHDAD – Seorang lelaki menipu lapan wanita dengan mengahwini dan menceraikan mangsa dalam tempoh masa singkat sebelum melarikan diri bersama harta benda mereka, lapor laman berita Gulf News semalam.
Menurut sebilangan mangsa yang bercakap kepada media, beberapa perkahwinan tersebut bertahan beberapa bulan, manakala yang lain melibatkan tempoh beberapa minggu sahaja.
Tiga daripada isteri itu adalah dari Baghdad, manakala lima yang lain tinggal di wilayah berbeza di Iraq
Isteri kelapan yang menjadi mangsa penipu itu memberitahu stesen Televisyen Al Sharqiya bahawa bekas suaminya mendakwa dia bekerja menjual kereta mewah.
Dia menyewa kenderaan mewah dan berjaya meyakinkan mangsanya tentang kekayaannya.
Wanita itu berkata, dia telah menjual keretanya serta mengeluarkan wang simpanan berjumlah 25 juta dinar (RM84,000) dan 90 juta dinar (RM303,000) sebelum menyerahkannya kepada lelaki tersebut.
Lelaki itu berkata, dia berhasrat membeli sebidang tanah untuk mereka berdua.
Bagaimanapun, hanya dua hari selepas menyerahkan wang, mangsa terkejut menerima surat cerai tanpa sebarang penjelasan.
Wanita yang menjadi mangsa penipuan itu kemudian memutuskan untuk membuat kumpulan WhatsApp untuk berkongsi maklumat tentang lelaki tersebut dan mencari jalan penyelesaian.
Bilangan wanita yang menyertai kumpulan WhatsApp itu meningkat kepada lapan orang. – AGENSI