PUTRAJAYA – Lebih 10,000 orang memeriahkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Program bermula pukul 5.30 petang itu anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama 13 agensi dan Perbadanan Putrajaya (PPj) serta 13 agensi Hal Ehwal Agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Program dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tiba kira-kira pukul 7 malam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa serta kenamaan-kenamaan lain.
Pada majlis sama, Mohd. Na’im turut berkesempatan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 120 asnaf dan sembilan institusi pondok. – KOSMO! ONLINE