BENTONG – Polis membuka kertas siasatan terhadap sekumpulan pemilik kenderaan yang tular memandu secara berbahaya di Genting Highlands di sini.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 2.12 minit itu menyaksikan pelbagai jenis kereta termasuk kereta mewah dipandu secara berbahaya di satu selekoh menaiki Genting Highlands.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam.
“Pihak polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Polis akan mengambil tindakan tegas dan akan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi berkenaan kerana berdasarkan maklumat dan aduan mendapati lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul serta melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam,”katanya di sini hari ini.
Menurut Zaiham, berdasarkan hasil siasatan, pihak polis mendapati klip video tersebut telah tular melalui satu laman sosial.
“Beberapa klip video yang tular memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan memandu secara berbahaya di selekoh jalan Genting Highlands di Bentong.
“Aktiviti tersebut dupercayai dilakukan oleh sekumpulan pemilik kenderaan sehingga menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE