KULAI – Seorang wanita maut manakala tiga termasuk seorang bayi berusia empat bulan cedera selepas kenderaan jenis Perodua Axia dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 39.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.30 petang.
Menurutnya, keempat-empat mangsa adalah merupakan ahli keluarga.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan tersebut melanggar sebuah Proton Persona dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang berada di lorong kanan.
“Pelanggaran itu menyebabkan Perodua Axia tersebut terbabas dan terbalik di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, wanita yang maut berusia 29 tahun, manakala suaminya berusia 30 tahun, serta dua anak mereka masing-masing berusia 4 tahun dan empat bulan mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE