PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di beberapa bahagian Semenanjung Malaysia dan Sabah petang ini.
Menerusi laporan MetMalaysia, cuaca buruk dijangka melanda Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah sehingga 6 petang hari ini.
“Hujan lebat dijangka melanda Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang Perak.
“Amaran yang sama dikeluarkan di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera,” katanya.
Menurutnya, Negeri Sembilan turut dijangka mengalami hujan lebat di kawasan Jelebu, Jempol dan Tampin.
Cuaca sama turut melanda Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Tenom dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu). – KOSMO! ONLINE