KINSHASA – Kerajaan Republik Demokratik Congo (DRC) menawarkan ganjaran lumayan AS$5 juta (RM22 juta) untuk membantu menangkap tiga ketua pemberontak yang merampas sebahagian besar kawasan di timur negara berkenaan, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Seorang pemimpin pemberontak itu ialah bekas Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Congo, Corneille Nangaa. Dia mengetuai Perikatan Sungai Congo yang turut termasuk dalam kumpulan pemberontak M23.
Ganjaran itu juga ditawarkan untuk dua pemimpin M23 yang lain, Sultani Makenga dan Bertrand Bisimwa.
Tahun lalu, ketiga-tiga lelaki itu didakwa tanpa kehadiran mereka oleh mahkamah tentera dan dijatuhi hukuman mati kerana mengkhianati negara.
Ganjaran sebanyak AS$4 juta (RM18 juta) pula ditawarkan untuk penahanan dua wartawan yang tinggal dalam buangan di luar negara dan dianggap oleh kerajaan DRC sebagai konco M23. – AGENSI