NOTTINGHAM – Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo berbangga dengan kerja keras barisan pemainnya ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Manchester City di City Ground kelmarin.
Menariknya, kemenangan itu seakan hampir menjamin tempat buat Forest kembali buat kali pertama selepas 26 tahun ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Ini berdasarkan situasi bekas juara Eropah dua kali itu di kedudukan ketiga dengan kelebihan empat mata ke atas City di tempat keempat selain hakikat lima slot UCL mungkin ditawarkan kepada kelab-kelab EPL.
Pemain sayap lincah, Callum Hudson-Odoi muncul wira Forest apabila menyudahkan hantaran Morgan Gibbs-White, menewaskan penjaga gol City, Ederson pada minit ke-83.
“Ini satu perlawanan yang cukup sukar dan anda sendiri boleh menyaksikan permainan City hari ini. Mereka menekan kami dari mula hingga tamat perlawanan.
“Namun, para pemain kekal bertahan dan tidak hilang sabar. Akhirnya kami dapat memanfaatkan satu peluang keemasan untuk memenanginya.
“Menewaskan City membuktikan kami dalam proses yang tepat tetapi dalam bola sepak masih perlu dilakukan. Kami perlu fokus aksi seterusnya,” kata Santo.
Forest selepas ini dijadualkan menentang pasukan dalam kelompok penyingkiran, Ipswich Town di Portman Road pada 15 Mac ini. – AGENSI