JERANTUT – “Ramadan bukan sahaja bulan untuk melipatgandakan amal ibadat, malah ia juga merupakan bulan yang dilimpahi rezeki.”
Demikian ujar seorang jurugambar, Ridhwan Mohamed, 37, yang ‘berhenti’ mengambil gambar sepanjang Ramadan untuk menjalankan perniagaan Kebab Kome di Bandar Lama Jerantut di sini.
Menurut Ridhwan yang merupakan anak jati Jerantut, dia menjalankan pekerjaan sebagai jurugambar di Kuala Lumpur, namun pada Ramadan dia menumpukan sepenuh masa menjual kebab roti pita di bandar ini.
“Saya sudah berniaga kebab sejak 2012 lagi. Kebanyakan orang di Jerantut sudah mengenali perniagaan Kebab Kome yang hanya dijual ketika Ramadan.
“Alhamdulillah sepanjang seminggu berniaga di Bandar Lama Jerantut ini, setiap hari kebab ayam dan daging yang dijual RM5 setiap satu habis terjual. Dalam sehari sebanyak 160 biji terjual,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, inti kebab dagingnya tidak menggunakan daging burger sebaliknya daging yang diperap dengan pes kebab.
“Kebab ayam pula saya menggunakan dada ayam yang dimasak di atas kuali canai. Ini berbeza dengan peniaga kebab lain yang kebanyakannya menggunakan daging burger segera.
“Selain ditambah sos cili, ia ‘dipadukan’ lagi dengan sos thousand island. Dalam melancarkan perniagaan, saya turut dibantu seorang pembantu,” katanya.
Katanya, beberapa minggu sebelum masuk Ramadan dia akan melakukan ‘undian’ di Instagram untuk melihat sambutan orang ramai terutama pelanggan setianya.
“Alhamdulillah, sepanjang 13 tahun berniaga pada bulan puasa, penjualan kebab ini membuka pintu rezeki kepada saya dan keluarga,” katanya.