TOKYO – Bekas bintang filem dewasa Jepun, Kae Asakura mengaku memeluk Islam dan melahirkan keterujaannya menyambut Ramadan pertama sebagai saudara baharu, lapor laman berita Merdeka.
Asakura memadamkan status terdahulunya dan memuat naik hantaran baharu di laman sosial memaparkan dirinya bertudung.
Dia yang mempunyai lebih dua juta pengikut di laman Instagram dan lebih sejuta orang di TikTok, turut berkongsi kehidupan harian menjalani ibadah Ramadan, sama seperti orang Islam lain.
“Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya,” kata Askaura.
“Salam Ramadan semua. Puasa bermula dan saya sangat teruja. Mari kita lihat apa yang saya lakukan pada hari pertama Ramadan dan Ramadan pertama dalam hidup saya,” katanya.
Rata-rata, pengikut Asakura meluahkan rasa gembira dengan perubahan tersebut meskipun terdapat segelintir yang sangsi dan menganggap wanita itu sekadar membuat kandungan media sosial.
Menurut Asakura, dia benar-benar mahu berubah menjadi lebih baik serta akan terus belajar menjadi seorang Muslim yang taat.
Dia juga meminta netizen agar berhenti memberikan komen buruk tentang dirinya.
“Saya benar-benar berpuasa, itu yang pertama. Satu-satunya perkara yang penting adalah hubungan antara saya dengan Allah atau anda dengan Allah. Sama ada saya akan masuk ke syurga selepas mati atau sama ada dosa-dosa saya diampunkan atau tidak, ia bukan urusan anda,” katanya. – AGENSI