SEPANG – Gara-gara tersilap mengisi borang tuntutan pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya, pelakon dan pelawak Along Cham ditegur hakim agar jangan menghuru-harakan proses mahkamah dengan melantik peguam.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, berkata, pemilik nama sebenar Muhammad Nizamuddin Ahmad selaku plaintif perlu membuat pindaan semula pada dokumen tuntutan bagi sebutan semula kes yang ditunda ke 8 Mei depan.
“Minta betulkan dokumen (tuntutan pengesahan taklik) ini. Berapa sebenarnya lafaz yang nak disahkan hari ini?
“Dakwaan ini sepatutnya kena dibuat dengan teratur. Nyatakan lafaz pertama bila (tarikh) termasuk rujuk atau tidak.
“Datang semula ke mahkamah semula. Boleh bicara tanpa huru-hara kena ikut proses betul-betul, lantik peguam,” katanya ketika sebutan kes pengesahan taklik itu di Mahkamah Syariah Rendah Sepang, di sini hari ini.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, selaku plaintif yang hadir ke mahkamah tanpa peguam hanya ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir, 64, dan adik perempuannya.
Manakala isterinya, Afreena diiringi peguamnya, Mohamad Iezwan Ielias, ibu bapa serta rakan kepada keluarganya yang dikatakan turut menjadi saksi perkahwinan mereka tahun lalu.
Menurut hakim, pihak defenden juga boleh mengajukan sebarang pembelaan pada sebutan pengesahan akan datang.
“Pada tarikh akan datang nanti, kalau pihak pembela mahu boleh juga buat pembelaan,” katanya.
Biarpun mahu mempercepatkan urusan pengesahan taklik yang didakwa dibuat sebanyak tiga kali, bapa kepada seorang anak itu akur menunggu tarikh baharu.
Pada masa sama, peguam Afreena memang berhasrat meneruskan perbicaraan namun mengakui berlakunya kelompongan pada tuntutan dibuat.
“Kami akan teruskan perbicaraan. Lafaz kedua adalah lafaz pertama, barulah berlaku taklik pada Julai lalu,” ujarnya.
Terdahulu pada 28 Januari, Along mahu menfailkan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, namun mahkamah mengarahkan pelakon tersebut melakukan permohonan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengikut alamat rumahnya.
Tindakan itu diambil selepas Along mendakwa isterinya melanggar tiga perkara yang dipersetujui tahun lalu termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 yang juga perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan pertama, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. – KOSMO! ONLINE