PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang Parlimen kelak akan dikuasai kumpulan tertentu jika Akta Perkhidmatan Parlimen dikembalikan.
Menurutnya, apabila ada ‘orang luar’ diambil berkhidmat di Parlimen, ia dikhuatiri akan wujud elemen pilih kasih dalam pengambilan pekerja.
“Jika kita kecilkan jumlah orang yang boleh berkerja dalam Parlimen, mungkin ada keperluan nak cari orang lebih baik. Jika tak dapat orang lebih baik, maka akan ambil orang luarlah.
“Bila ambil orang luar itu adalah elemen pilih kasih, itu jadi masalah. Saya khuatir jawatan akan diisi penyokong kuat kepada kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dewan Rakyat pada Rabu lalu meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan untuk mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Pindaan itu mendapat sokongan 148 ahli parlimen menerusi undi belah bahagi sekali gus melepasi keperluan majoriti dua pertiga.
Bagaimanapun, 57 ahli parlimen tidak mengundi manakala 17 lagi tidak hadir ketika sesi undian dijalankan.
Sebelum itu, 18 ahli parlimen kerajaan dan pembangkang telah membahaskan rang undang-undang tersebut. – KOSMO! ONLINE