PETALING JAYA – Tenang berhadapan sebarang kemungkinan, isteri kepada Along Cham, Afreena Suhaimi mengakui tidak sabar untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Katanya, hal tersebut sepatutnya diselesaikan sejak tahun lalu lagi namun tertangguh sekian lama selepas pihak satu lagi mengambil sikap mengelak diri.
“Alhamdulillah, saya bahagia. Saya bersedia dan tak sabar menghadapi hari ini. Saya juga bersyukur akhirnya hal rumah tangga kami dapat diputuskan di mahkamah.
“Ini kerana saya sudah lama menunggu detik ini yang sepatutnya diselesaikan tahun lalu tetapi tidak dapat dilakukan atas sebab Along mengelak atau lebih suka lari daripada menyelesaikannya.
“Apa yang boleh saya cakap adalah saya macam sebelum ini, saya sentiasa berikan kerjasama termasuk pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pengurus bahagian kejuruteraan sebuah syarikat penerbangan itu juga bersyukur mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan sepanjang berdepan kemelut rumah tangga.
“Ibu bapa saya akan menemani saya hari ini. Mereka berikan sokongan selain kawan-kawan, begitu juga dengan keluarga angkat saya.
“Saya cuma mahu menyelesaikan semua ini dan meneruskan kehidupan bersama orang yang tersayang terutama anak-anak.
“Segala-gala yang berlaku ini saya anggap ujian dan saya reda berhadapan dugaan Allah SWT,” ujarnya.
Afreena juga berharap tiada sebarang unsur provokasi atau sebagainya tidak kira bagaimana pengakhiran terhadap perkahwinannya itu nanti.
“Harapan saya janganlah dipanjangkan lagi perkara yang sudah berlalu andai segala-galanya ternoktah sampai setakat ini,” katanya.
Pengesahan kes lafaz cerai taklik Along Cham atau nama sebenar, Muhammad Nizamuddin Ahmad terhadap isterinya, Afreena, 33, disebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pukul 11 pagi ini.
Terdahulu, pelawak terbabit memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik pada 28 Januari lalu.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 yang juga perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan pertama, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. – KOSMO! ONLINE