fbpx

‘YB, tolong jaga cucu saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven Sim ketika bertemu Poh yang menceritkan tentang kehidupan cucunya, Wan En hari ini. Foto FACEBOOK STEVEN SIM

PETALING JAYA – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkongsi kisah kehidupan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang sudah dijadikan anak angkatnya.

Steven Sim menerusi satu catatan di Facebooknya hari ini berkata, remaja dikenali sebagai Wan En itu telah melalui satu fasa kehidupan yang sangat mencabar apabila ketika berusia sembilan tahun, dia sudah kehilangan ibu tersayang.

“Umur sembilan tahun, mak tersayang Wan En meninggal dunia secara tiba-tiba. Ketika itu dia terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku.

“Semasa keranda ibunya ditolak ke dalam van jenazah, neneknya hanya mampu memberitahu cucunya itu bahawa, ‘Mama akan tidur lama di tempat yang jauh’.

“Waktu tu dia tak tahu mak tak akan kembali buat selama-lamanya. Bagai jatuh ditimpa tangga, baru-baru ini, ketika masyarakat Cina menyambut Tahun Baharu Cina, dunianya menjadi lebih malap apabila ayahnya pula meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.

Kata Steven Sim, Wan En menjadi anak yatim piatu pada usia semuda 15 tahun selain kehilangan tempat bermanja dan telah dibesarkan oleh neneknya, Poh.

“Hati saya cukup hiba mendengar kisah adik Wan En yang menanggung ujian begitu besar di usia begitu muda.

“Nasib baik ada neneknya. Tapi nenek sudah berumur 83 tahun. Nenek kata, simpanan hari tuanya kini menjadi wang belanja harian mereka berdua,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Steven Sim memberitahu, ketika sedang berbual dengan Poh, warga emas itu sempat meminta bantuannya untuk menjagakan cucunya itu sekiranya dia sudah tiada.

“Nenek pegang erat tangan saya menangis sambil berkata, ‘YB, saya sudah tak lama. Kalau apa-apa berlaku dekat saya, saya merayu tolong jaga cucu saya’,” kongsinya.

Steven Sim turut menyifatkan Wan En sebagai seorang remaja yang sangat baik dan pandai mengenang jasa orang lain terutama neneknya.

“Dia pun sudah mula kerja ‘part time’ di gerai char kuetiau, dapatlah RM20 sehari. Duit itu semuanya dia bagi pada nenek.

“Saya juga hulurkan RM10,000 kepada nenek, saya habaq (beritahu) kat dia jangan risau, selagi Steven ada, akan ada makanan atas meja untuk mereka. Saya juga akan mengambil Wan En sebagai anak angkat saya dengan elaun bulanan supaya dia fokus belajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI