SUNGAI PETANI – Seorang wanita terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalam beg galas di sebuah bangsal kayu di hadapan rumahnya di Taman Semarak, di sini hari ini.
Menurut wanita terbabit, Yeoh Yit Chen, 40, dia terdengar bunyi tangisan ketika sedang memasak di dapur rumahnya iaitu kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Saya rasa curiga apabila suara tangisan dari arah hadapan rumah menjadi semakin kuat sebelum saya panggil jiran untuk pergi melihat di kawasan bangsal.
“Saya nampak ada satu beg galas dalam keadaan separuh terbuka dan saya bertindak membukanya sebelum mendapati di dalamnya ada seorang bayi perempuan tanpa pakaian sedang menangis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia melihat terdapat bintik-bintik merah pada bahagian muka dan badan bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu.
“Saya rasa bayi itu baru sahaja ditinggalkan di situ kerana saya tidak dengar sebarang bunyi tangisan ketika menyidai baju di ampaian kira-kira pukul 9 pagi tadi. Kasihan, mungkin bayi itu menangis kerana kesejukan,” katanya.
Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian membawa bayi itu ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dengan menggunakan ambulans untuk pemeriksaan lanjut. – KOSMO! ONLINE