PENDANG – Pengguna jalan raya terpaksa menempuh kesesakan sejauh enam kilometer (km) selepas sebuah treler membawa muatan tomato dan cili terbalik merintangi jalan di KM 71.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan pada pukul 10.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika treler tersebut sedang ditunda sebuah trak tunda dari Changlun, dekat sini menghala ke Selayang, Selangor.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pin di bahagian bawah engsel pada treler telah tercabut menyebabkan trak tunda hilang kawalan.
“Kenderaan itu seterusnya terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan, manakala treler melintang serta menutup keseluruhan lorong jalan menghala ke selatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kemalangan mengakibatkan aliran trafik di lokasi perlahan dan berhenti sehala ke selatan namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE