TUMPAT – Tiga lelaki gagal menyeludup sebanyak 42,700 biji kelapa di dalam sebuah treler ke Thailand selepas mereka dicekup di stor pangkalan haram di Jalan Kasban di sini kelmarin.
Ketiga-tiga suspek yang berusia 22 hingga 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan itu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA mengesan kegiatan penyeludupan kelapa yang dijalankan oleh tiga lelaki di pangkalan haram itu.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam treler yang berada di kawasan itu menjumpai sebanyak hampir 42,700 biji kelapa dipercayai untuk diseludup ke Thailand.
“Siasatan lanjut mendapati, tiga lelaki itu disyaki berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup kelapa tersebut ke Thailand.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah treler dianggarkan bernilai RM 1.2 juta. Ketiga-tiga suspek dan barangan rampasan dibawa ke kompeni taktikal PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965. – KOSMO! ONLINE