PETALING JAYA – Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim mengakui teruja apabila dapat kembali bangkit daripada tragedi ‘hitam’ selepas meledak jaringan hatrik dengan membantu pasukan menang 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) malam tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, Faisal dilihat tidak mempunyai masalah untuk memastikan Selangor berpesta gol hasil jaringan pada minit ke-13, m-45 dan m-66.
Sementara itu empat lagi gol disudahkan oleh Quentin Cheng pada minit ke-31, Aliff Izwan (m-73) dan dua lagi sumbangan jaringan menerusi pemain pertahanan, Harith Haiqal (m-54 dan m-56).
Lebih manis, ia adalah gol pada aksi kompetitif pertama pemain yang mesra dengan gelaran Mickey dalam tempoh hampir setahun selepas menjadi mangsa insiden simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada Mei lepas.
Faisal mengucapkan terima kasih buat semua penyokong dan peminat yang diakui menjadi kekuatan untuk dirinya bangkit.
Pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang ini berkata, jaringan hatrik semalam adalah hadiah bermakna buat rakyat dan penyokong bola sepak Selangor serta pihak pengurusan pasukan yang tetap mempercayai kepada kebolehannya.
“Terima kasih kepada semua penyokong. Terima kasih kepada rakyat Selangor, tiga gol ini, tiga gol untuk anda semua, untuk rakyat Selangor, untuk pasukan Selangor.
“Terima kasih kepada kawan-kawan saya, terima kasih pengurusan, terima kasih penyokong penyokong Selangor,” kata pemain berusia 27 tahun itu.
Faisal sebelum ini terpaksa berehat lebih tiga bulan dengan menjalani beberapa siri pembedahan susulan insiden simbahan asid sehingga hampir memusnahkan kariernya. – KOSMO! ONLINE