PETALING JAYA -Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menyumbangkan gaji dan elaunnya kepada enam buah surau serta mengagihkan 6,000 paket bubur lambuk sekitar Parlimen Sungai Buloh sepanjang bulan Ramadan.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, perkara itu adalah janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 dan beliau akan terus teguh berpegang pada prinsip itu selagi diberi kepercayaan dan mandat sebagai Ahli Parlimen.
“Sebelum ini, rumah ibadat lain seperti masjid, surau, tokong, kuil dan gereja juga telah menerima sumbangan melalui gaji dan elaun saya mengikut giliran masing-masing.
“Pada hari ini, antara surau yang menerima manfaat tersebut ialah Surau Madrasatul Falahiyah, Surau An-Najah Taman Subang Idaman, Surau At-Taqwa, Surau As-Salam, Surau Al-Mukim, dan Surau Al-Hidayah”, katanya di sini hari ini.
Katanya, sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh pada 2022, sejumlah RM580,000 daripada keseluruhan gaji dan elaun telah disumbangkan kepada hampir 100 rumah ibadat dalam kawasan Parlimen Sungai Buloh.
“Saya yakin sumbangan yang diterima oleh rumah ibadat ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kebajikan komuniti setempat.
“Kita bersama-sama membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera”, katanya.
Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini katanya , beliau bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan turun padang untuk mengagihkan 6,000 paket bubur lambuk.
Beliau berkata pengagihan bubur lambuk secara percuma itu juga menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan di Sungai Buloh, kerana sudah menjadi kelaziman ia menjadi juadah istimewa semasa berbuka puasa.
“Hari ini saya mengedarkan sendiri bubur lambuk kepada warga Sungai Buloh untuk bertemu mereka atas semangat perpaduan dan kebersamaan, cukup meriah bersama mereka dan untuk hari ini sebanyak 1,200 (paket) bubur lambuk telah diagihkan di sekitar kawasan Bazar Ramadan Parlimen Sungai Buloh” , katanya.