PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan sita ke atas enam premis perniagaan yang meletakkan barangan di tempat awam di sekitar Pasar Harian Selayang, semalam.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Perbandaran Selayang.
“Empat daripadanya merupakan perniagaan kendalian warga asing dan tindakan dijalankan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, kesemua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE