PETALING JAYA – Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar mengadakan lawatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dekat Kem Gubir, Kedah semalam.
Lawatan itu bertujuan bagi meninjau kawasan operasi dan keadaan terkini di Sempadan Terkoordinasi (PST) Ban Di Da.
“Lawatan berkenaan disambut mesra oleh Commanding General 4th Army Area, Royal Thai Army (RTA) Leftenan Jeneral Phaisan Nusang, bersama Ketua Penempatan Pos daripada 14 RAMD (Mek), Mejar Mohd. Aiman Mohd Halim,” katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Nizam turut mengadakan lawatan di kawasan tanggungjawab (KTJ) Formasi 2 Divisyen di Kem Gubir yang diiringi Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Pada masa sama, kedua-dua panglima berkenaan turut menyampaikan kotak sumbangan kepada Pegawai Pemerintah Batalion Ke-14, RAMD (Mek) Leftenan Kolonel Azllan Zainul Abidin.
“Lawatan ini bukan sahaja mengeratkan kerjasama antara anggota tentera Malaysia-Thailand malah memberi penghargaan dan sokongan moral kepada semua anggota yang berada di persempadanan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE