PETALING JAYA – Penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya mengakui pasukan akan terus memberi peluang kepada pemain muda meskipun dibelasah Selangor FC 0-7 pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya semalam.
Menurut Rezal, jurang kualiti pasukan dengan barisan pemain Gergasi Merah jelas berbeza dengan tuan rumah bermain dalam kelas tersendiri untuk meraih kemenangan besar di laman sendiri..
“Sangat mendukacitakan dengan kekalahan besar yang kita alami pada malam ini (semalam)
“Kalau kita tengok tahap pemain pun kita tak mampu nak bagi saingan dengan pemain-pemain Selangor, dan kita tahu mereka berada di tangga kedua liga.
“Jadi jurang itu kita boleh lihatlah…apapun bagi saya pemain-pemain dah bagi terbaik. Jadi kita kena terima hakikat yang kita sukar bagi saingan seperti pasukan Selangor,” katanya selepas tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan skuad Kijang Emas kekal di kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya mengutip tujuh mata selepas mengharungi 21 perlawanan. – KOSMO! ONLINE