PETALING JAYA – Ketua Polis Negara mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk meningkatkan kawalan dan rondaan di sepanjang Sungai Golok, Thailand susulan insiden tembakan dan letupan bom di wilayah itu semalam.
Tan Sri Razarudin Husain berkata, PGA telah diarahkan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan di pos keselamatan dan kawalan bagi mencegah kemasukan individu tidak diingini ke negara ini.
“Kita telah mengarahkan semua PGA meningkatkan rondaan di pangkalan haram dan kawasan ‘hotspot’ di sepanjang Sungai Golok bagi memastikan ia tidak dibolosi penjenayah.
“Kompeni komander juga diarahkan bagi memantau keselamatan pos dan petugas selama 24 jam,” katanya di sini hari ini.
Razarudin berkata, Briged Tenggara dan Polis Kelantan akan memantau keadaan di wilayah Narathiwat dan kawalan ketat dikuatkuasakan serta merta sehingga situasi kembali selamat.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada rakyat malaysia yang dilaporkan terbabit dalam insiden tersebut.
Dala kejadian pukul 7.10 malam itu, dua sukarelawan polis maut manakala lapan lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok. – KOSMO! ONLINE