SINGAPURA – Gara-gara berang ‘disoal siasat’ oleh teman wanita kerana curang, seorang lelaki di Singapura merotan mangsa sehingga meninggalkan kesan di badannya, lapor portal berita MS News hari ini.
Tertuduh yang merupakan seorang pengurus keselamatan berusia 36 tahun, telah bertemu mangsa menerusi aplikasi temu janji pada Ogos 2022 sebelum mereka menjalin hubungan cinta.
Hubungan mereka mula berantakan apabila mangsa mengesyaki tertuduh curang kepadanya dan pasangan itu kemudian bertengkar.
Tertuduh yang berang merotan mangsa pada beberapa bahagian badannya termasuk lengan dan pipi.
Perbuatan itu dirakam oleh mangsa menggunakan telefon bimbit sebelum dia melaporkan kejadian tersebut kepada polis.
Tertuduh akhirnya dijatuhi hukuman penjara 10 hari oleh sebuah mahkamah selepas mengaku bersalah kerana melakukan perbuatan itu, lapor akhbar Shin Min Daily News. – AGENSI