fbpx

Lelaki mental bunuh ibu diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABD Rahman (dua dari kiri) dituduh membunuh ibunya berusia 68 tahun di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya sendiri di sebuah rumah di Kampung Bok Bok, di sini pada 2 Mac lalu.

Tertuduh, Abd Rahman Harun, 43, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret, Nur Syifa Mohd Hamzah.

Dia yang memakai baju T warna kelabu cerah dan bergari di dalam kandang tertuduh juga menjawab ‘faham puan’ apabila ditanya sama ada memahami pertuduhan yang dibacakan tersebut.

Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Isah Salleh, 68, di sebuah rumah di Kampung Bok Bok dalam mukim Derga antara pukul 7 pagi hingga 8 pagi, 2 Mac lalu.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dikenakan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah memberitahu mahkamah bahawa tertuduh adalah tidak waras dan mempunyai kad OKU kategori ketidakupayaan mental.

Nur Diyanah kemudian memohon mahkamah agar tertuduh dihantar ke hospital psikiatri untuk membuat pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Majistret, Nur Syifa seterusnya menetapkan Selasa ini untuk tertuduh dibawa ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, di Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan psikiatri.

Mahkamah turut menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi keputusan pemeriksaan psikiatri berkenaan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas berusia 68 tahun maut dalam keadaan tragis apabila mayatnya ditemukan terbakar dipercayai akibat perbuatan anak lelakinya sendiri di sebuah rumah di sini.

Suspek dikatakan mengamuk sebelum bertindak memukul kepala ibunya dengan tukul sebelum membakar mayat mangsa.

Ujian urin ke atas suspek didapati negatif dadah dan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau

Difahamkan, suspek didiagnos mengalami masalah mental pada Disember 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI