fbpx

KPM jamin tiada gula-gula bentuk vape dijual dalam sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina bercakap pada sidang akhbar selepas Jaulah Ramadan KPM 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan semua jenis makanan berbahaya termasuk gula-gula berbentuk vape tidak dijual di dalam kawasan sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan bertindak tegas menghalang sekiranya ada pihak yang menjual makanan yang berbahaya untuk keselamatan pelajar.

Menurutnya, makanan yang memudaratkan pelajar tidak boleh dijual sama sekali dalam setiap premis di bawah KPM.

“Saya memberi jaminan bahawa tiada makanan yang membahayakan dijual kepada anak-anak di dalam sekolah.

“Bagaimanapun, penjualan gula-gula berbentuk vape di luar kawasan sekolah memerlukan kerjasama pengetua dan guru besar sekolah dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang akhbar selepas Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, perbincangan dengan PBT dan KKM perlu dijalankan bagi memastikan makanan yang membahayakan itu tidak diperoleh dengan mudah.

Media semalam melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran mengenai kemunculan gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok yang kini membanjiri pasaran tempatan.

Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, trend itu semakin membimbangkan kerana produk berkenaan menyerupai alat vape dan rokok sebenar serta berupaya menarik perhatian kanak-kanak melalui rekaan pelbagai warna.

“Apabila kanak-kanak melihat produk ini di kedai, mereka akan meminta ibu bapa untuk membeli tanpa menyedari bahaya di sebaliknya.

“Sekali mereka tertarik, mereka akan terus meminta untuk mendapatkan gula-gula ini berulang kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI