KUALA LUMPUR – Meskipun sudah dua kali mengalami kegagalan dalam rumah tangga, pelakon Nora Danish mengakui hatinya tidak pernah tertutup untuk menerima cinta baharu.
Tidak serik atau trauma, Nora atau nama sebenarnya, Nora Danish Mohd. Haniff, 43, berkata dia tetap menaruh harapan agar dipertemukan jodoh yang mampu membimbingnya ke arah kebaikan.
“Siapa sahaja tak mahu kahwin, kan? Memang saya nak sangat.
“Saya tak pernah putus harapan atau fobia dengan perkahwinan sebelum ini. Semasa menunaikan umrah Februari lalu, saya berdoa supaya ditemukan dengan insan baik.
“Tapi apa pun biar saya perbaiki diri dahulu sebelum bertemu jodoh yang sesuai,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Mengakui dirinya semakin matang dalam memahami kehidupan berkeluarga, pelakon Sayu Yang Syukur itu juga lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.
“Kita tak sempurna, tapi apabila dah faham agama, tentu kita mahu seseorang yang baik hati selain mampu membimbing.
“Tapi sampai sekarang, belum ada calon lagi,” ujarnya.
Ibu dua anak itu juga tidak menafikan dirinya sering menjadi bahan usikan setiap kali menghadiri kelas agama.
“Bila kita single, pergi kelas agama memang ada yang suka mengusik. Kalau ada ustaz bujang, mesti ada yang cuba kenen-kenenkan.
“Tapi saya tak terasa pun. Mungkin sebab dah biasa dengan gurauan orang. Kalau perkara baik, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.
Terdahulu, Nora dan ahli perniagaan Nedim Mohamad Nazri, 42, bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun hidup bersama.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan memiliki seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 16, sebelum bercerai pada 2008. – KOSMO! ONLINE