fbpx

Ketumbuhan pecah punca tahanan reman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tahanan reman meninggal dunia ketika dirawat di ICU HTF di Kangar pada kelmarin.

ARAU – Kematian seorang tahanan reman Pusat Koreksional Perlis di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat sini kelmarin adalah akibat pendarahan dalaman selepas ketumbuhan pada organ hati pecah.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar mendapati tahanan berusia 23 tahun itu mengalami pendarahan serius pada bahagian abdomen yang berpunca daripada ketumbuhan tersebut.

“Kecederaan luaran seperti luka koyakan di dahi kanan, kesan calar seretan pada abdomen kiri dan lutut kiri didapati tidak membawa maut. Pemeriksaan dalaman juga tidak menemui sebarang kecederaan lain,” katanya di sini hari ini.

Katanya, bedah siasat itu juga mendapati ketumbuhan tersebut berkemungkinan pecah akibat mangsa terjatuh di dalam tandas.

Menurutnya, pakar patologi berpendapat kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah berdasarkan corak kecederaan yang ditemukan pada tubuh mangsa.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti jenis ketumbuhan tersebut dan sampel ketumbuhan serta asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang,” ujarnya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan diteruskan sementara menunggu keputusan laporan kimia.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI